Rina sedang
menyiapkan makan malam ketika aku tiba di rumah. Aku memegang tangannya dan
berkata, “ Abang ada sesuatu nak beritahu”. Dia membisu dan dapat ku lihat
keresahan di matanya.
Tiba-tiba lidahku
kelu. Tapi aku nekad untuk memberitahunya. “Abang rasa kita sudah tidak serasi
lagi. Kita cerai?”.
Akhirnya, terlepas
jua beban di dada. Tapi ku lihat Rina tenang dan dia hanya bertanya dengan
lembut. “Mengapa bang? Apa salah saya?”. Giliran aku membisu dan ini
menimbulkan kemarahan Rina. Air matanya mula menitis. Aku tahu dia mahukan
jawapan tapi aku tiada jawapannya. Yang ku tahu, hatiku kini milik Tasya.
Cintaku bukan pada Rina lagi.
Aku katakanya
padanya yang dia boleh ambil rumah dan kereta apabila kami bercerai. Rina
merenung wajahku. Pandangannya kosong. 10 tahun kami berkahwin tetapi malam ni
kami umpama orang asing. Aku kasihankannya tetapi untuk berpatah balik tidak
sesekali. Aku cintakan Tasya. Air matanya yang sekian tadi bertakung mula
mengalir deras. Sudah ku jangka. Malah aku lega melihatnya menangis. Niatku
untuk bercerai semakin jelas dan nyata.
Keesokannya, Rina
mengatakan dia tidak mahu apa-apa dari penceraian kami melainkan tempoh 1
bulan. Dia meminta bahawa dalam satu bulan itu kami teruskan rutin harian kami
seperti biasa sebagai suami isteri. Alasannya, anak kami bakal menduduki peperiksaan
dalam masa sebulan lagi dan dia tidak mahu anak kami terganggu dengan
penceraian kami. Aku bersetuju.
Kemudian Rina
menyuruhku mengingat kembali saat aku mendukungnya ke bilik kami pada malam
pertama kami. Dia meminta untuk tempoh sebulan ini, aku mendukungnya keluar
dari bilik tidur kami ke pintu depan setiap pagi. Pada ku memang tidak masuk
akal. Tetapi aku tetap bersetuju.
Aku memberitahu
Tasya permintaan Rina. Dia ketawa dan hanya mengatakan ini semua kerja gila.
Tidak kira apa muslihat Rina, dia tetap akan diceraikan. Aku hanya diam
membatu.
Semenjak aku
menimbulkan isu penceraian, kemesraan kami terus hilang. Hari pertama aku
mendukungnya keluar, aku merasa kekok. Rina juga. Anak kami bertepuk tangan di
belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah dukung ibu ya”. Kata-katanya amat
menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang dan dengan lembut dia memberitahuku agar
jangan sampai anak kami tahu yang kami akan bercerai. Aku mengangguk setuju.
Aku menurunkannya di muka pintu. Dan kami memandu berasingan ke tempat kerja.
Masuk hari kedua,
hilang sedikit rasa kekok. Rina bersandar di dadaku. Dapat ku cium harumannya.
Dapat ku lihat kedutan halus di wajahnya Aku sedar dia tidak muda lagi seperti
dahulu. Ternyata perkahwinan kami memberi kesan kepadanya. Selama satu minit,
aku tertanya-tanya apa yang telah aku lakukan.
Masuk hari
keempat, aku dapat rasakan keintiman kami telah kembali. Tanpa sedar hatiku
berkocak mengatakan mungkinkan cintaku masih padanya. Hari kelima dan keenam,
aku menyedari keintiman kami mula bercambah kembali. Aku tidak memberitahu
Tasya tentang perkara ini. Masuk hari-hari seterusnya, rutin ini jadi lebih
mudah malah aku nantikannya setiap pagi.
Suatu pagi, Rina
sedang memilih baju untuk dipakai. Katanya tiada yang sesuai. Dia mengeluh.
“Semua baju saya besar”. Baru ku sedar, dia semakin kurus. Mungkin itu jugalah
sebabnya aku semakin mudah mendukungnya. Tiba-tiba terlintas di fikiranku.
Mungkin Rina sedang menyembunyikan keperitan hatinya lantaran sikapku selama
ini. Tanda sedar aku merangkul tubuhnya dan membelai rambutnya.
Kemudian, muncul
anak kami di muka pintu sambil berkata “ Ayah, cepat lah dukung ibu keluar”.
Padanya, melihat aku mendukung keluar isteriku setiap pagi adalah rutin
hariannya. Rina memanggil anak kami lalu memeluknya erat. Ku palingkan mukaku
kerana takut aku sndiri mengubah fikiran di saat ini. Aku kemudian mendukungnya
dan tangannya melingkari leherku. Tanpa sedar, ku eratkan rangkulanku. Dapat ku
rasakan badannya sangat ringan.
Hari ini genap
sebulan. Di muka pintu aku menggenggam tangannya dan berkata “ Abang tidak
sedar yang selama ini kita kurang keintiman”. Aku terus melangkah ke kereta dan
terus memandu ke pejabat. Sesampainya di pejabat, aku terus ke bilik Tasya.
Sebaik pintu terbuka, aku masuk dan aku beritahu dia “Maaf Tasya. Saya tidak
akan bercerai dengan Rina. Sekarang saya sedar saya masih cintakan dia”.
Muka Tasya berubah
merah. Tapi ku kata jua,“Maaf Tasya. Saya dan Rina tidak akan bercerai.
Perkahwinan kami membosankan mungkin kerana saya tidak menghargai apa yang kami
ada dan kongsi selama ini, bukan kerana kami tidak lagi menyintai satu sama
lain”. Tasya menjerit sekuat hati dan aku terus melangkah keluar.
Aku kembali ke
kereta dan niat hatiku mahu pulang ke rumah dan memohon maaf dari Rina, isteriku.
Aku singgah di sebuah kedai bunga untuk membeli sejambak tulip merah kesukaan
Rina. Aku capai sekeping kad dan ku tulis, “Abang akan dukung Rina setiap pagi
hingga maut memisahkan kita”.
Setibanya di
rumah, aku terus berlari ke bilik kami dan mendapati Rina terbaring tenang di
atas katil. Ku belai wajahnya sambil memanggil namanya tapi tiada sahutan. Rina
kaku. Hatiku berdetak keras.
Kini Rina pergi
untuk selamanya. Perpisahan yang ku pinta ternyata ditunaikan. Sekian lama Rina
berperang dengan KANSER RAHIM tetapi aku begitu sibuk dengan Tasya untuk
menyedarinya. Rina tahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi dan dia mahu
menyelamatkan aku daripada reaksi negatif dari anak kami, sekiranya kami tetap
bercerai. Rina mahu sekurang-kurangnya di mata anak kami, aku adalah suami yang
penyayang.
Perkara-perkara
mudah dan ringkas yang anda lakukan bersama adalah yang sebenarnya penting
dalam perkahwinan. Bukan banglo, kereta, harta, dan wang di bank. Semua itu
hanya wujudkan persekitaran yang kondusif untuk kebahagiaan tetapi tidak dapat
memberi kebahagiaan pada kita.
Jadi carilah masa
untuk menjadi sahabat kepada isteri/suami anda dan lakukan perkara-perkara
kecil untuk satu sama lain yang membina keintiman. Binalah kemanisan rumah
tangga anda. Hargailah setiap pengorbanan pasangan anda.

No comments:
Post a Comment